ROSALINSENI

Wednesday, March 21

Anak manis

Lima pancaindera
digayut rasa sedih amat
seakan terdengar suara manjamu
seakan melihat raut manismu
seakan menyentuh lembut dahimu
seakan terhidu wangi bicaramu
seakan terasa perit  hembusan  nafas akhir

 Lima pancaindera
sana sini medengar lara
sana sini melihat derita
sana sini menyentuh hiba
sana sini menghidu duka
sana sini  merasa duka

Apalah dosa anak manja
diperkosa
diculik
dibunuh
dibakar
sudah musnahkah nilai kemanusiaan
tidak takut hukum tuhan
akal dipijak nafsu dijunjung

Duhai anak manis
Damailah kau di sana
Ibu ayah mendoa bahaga

Pantun kenangan....dekat di hati.

.
Pisang emas dibawa belayar
masak sebiji di atas peti
hutang emas boleh dibayar
hutang budi dibawa mati.

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
hancur badan dikandung tanah,
budi yang baik dikenang jua.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan
saya budak baru belajar
kalau salah tolong tunjukkan

Sorong papan tarik papan
buah keranji di dalamperahu
suruh makan saya makan
suruh mengaji saya tak tahu

Buai laju-laju,
Samapi pokok sena
Apa dalam baju
sekuntum bunga cina

Kalau ada sumur di ladang,
bolehlah saya menumpang mandi
kalau ada umur yang panjang
boleh kita berjumpa lagi

Kalau ada jarum yang patah
jangan disimpan di dalam peti.
Kalau ada ssilap dan salah
jangan disimpan di dalam hati.

Sunday, March 18

SAJAK MENUJU UTARA

SAJAK : MENUJU UTARA 

ruang-ruang kosong
pantas diintai
kalut memintas
masing-masing ingin lekas
menuju destinasi
tanpa sedar atau pedulikan 
biar lambat asal selamat
lalu nyawa menjadi taruhan

Hon menjerit 
melantun amarah
ada mata menjeling
hilang hormat  hanyut adab
mahal sungguh harga kesopanan
dikambus  asap  cemar

Menuju utara
papan tanda baru megah berdiri
tersurat indah
mari memandu sambil berzikir
Subahanallah
Alhamdulillah
Allahuakbar

Menuju utara
Ada yang laju 
ada yang pelan
Semua ingin cepat sampai
melepas lelah
di destinasi rindu


( 17 Mac 2012...perjalanan pulang dari Raub Pahang ke Teluk Intan )

Wednesday, March 14

SAJAK : SUARA MENARA CONDONG

Untuk Tatapan Cik Hjh Nur'Azah bt Ahmad

Tajuk : Suara Menara Condong


Menara Condong
dekat di hati warga Teluk Intan
mengingatkan masa itu emas
kepada mereka yang terus lena
agar tidak kecundang mengejar dunia
alpa rakus menelan jati diri

Menara Condong
tetap kukuh bertapak
walau ada sangsi dengan setiamu
melihat paksi mu
kian berubah
dalam senyap

Menara Condong
detik-detik yang bergema
acapkali tak dipeduli
sudah pekakkah mereka
atau sudah sumbang lagumu
lalu mereka lewa menadah telinga
membiarkan kau sendiri berlagu

Menara Condong
sering aku melihatmu
menyapa riang mentari pagi
menyambut ceria angin petang
menatang sayang malam yang tiba
tanpa hirau sesak di keliling jantungmu
tanpa peduli asap cemar menerjah
kau terus menghitung masa

Menara Condong
acapkali menonton tarian hidup
pelbagai rentak sumbang bertingkah
menyatu menyakitkan rasa
tiada upaya, tiada daya
sekalipun menjentik marah
resam timur tercalar dek anak zaman

Walau bukan anak tempatan
sayangku pada warisan
bertaut rasa denganmu
menyanyikan lagu damai
agar setiap jiwa
bangkit rindu akan tulus
membongkar rasa sayang
pada setiap ciptaan Illahi.



Azlin 
Soalan berkaitan sajak

1. Apakah jenis puisi di atas
   A.  pantun    
   B. gurindam
   C. sajak
   D. syair

2. Dimanakah terletaknya Menara Condong  ?
   A. Ipoh
   B. Tanjung Malim
   C. Kuala Kangsar
   D. Teluk Intan

3. Apakah maksud ' masa itu emas' ?
    A. Masa itu sangat berharga
    B. Masa boleh dijual beli
    C. Masa  itu sangat mahal
    D. Kita mesti menepati masa.

4. Apakah yang dimaksudkan dengan ' walaupun aku bukan anak tempatan' dalam rangkap  terakhir?
    A. Penulis adalah anak jati Teluk Intan
    B. Penuilis bukan berasal dari Teluk Intan
    C. Penulis telah lama menetap di Teluk Intan
    D. Penulis mempunyai saudara mara di Teluk Intan

Selamat Menjawab...

DISKRIPSI GAYAPURA & SEJARAH PEMILIKAN


Setelah diteliti, didapati pengaruh senibina Cina yang paling kuat pada Menara Jam Condong.  Ini adalah kerana ia berkonsep sebuah “Pagoda”.  Walaupun pembinaannya pada zaman pemerintahan British, namun pengaruh Cina, penderma dan kontraktor telah berjaya dalam memperjuangkan budaya untuk dihayati. Ini jelas didapati pada fasad bangunan menara jam ini seperti gerbang, bumbung genting dan hiasan jubin dan sebagainya yang menunjukkan kekayaan budaya dan senibina Cina. 

Dari luar kelihatan seolah-olah menara jam ini adalah bangunan 8 (Lapan) tingkat; sebenarnya hanya terdapat 3 (Tiga) tingkat sahaja.  Menara jam ini memiliki 110 anak tangga yang menghubungkan setiap aras yang tingginya 15.5 kaki.  Kekayaan senibina yang diperbuat daripada struktur kayu dan batu; terdapat setiap tingkap dilengkapi dengan lorong jalan 6 (Enam) kaki lebar berdindingkan tembok rendah 2 (Dua) kaki yang dihiasi dengan batu berwarna hijau. Ketelitian senibinanya dan perancangan ruang dapat dilihat dari adaptasi kegunaannya sebagai tangki air ditingkat 3 (Tiga) yang diperbuat dari kepingan keluli setinggi 16 kaki  dengan muatan 680 kaki padu.  Lapisan bawah bangunan ini berukuran garis pusat 43 kaki dan menguncup ke atas 27 kaki. 

Walaupun kontraktor Leong Choon Cheong berusaha membina menara jam ini dahulu, namun tidak dapat dinafikan bahawa pihak British adalah pemilik dan pentadbir ketika itu.  Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, menara jam ini secara automatis menjadi milik negara dan kini ia dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.  Semasa pemerintahan Jepun, bangunan ini telah digunakan pula oleh askar-askar Jepun sebagai menara kawalan bagi memerhatikan musuh.  

Tuesday, March 13

MENARA CONDONG KETIKA MALAM

Menara condong juga dikenali sebagai Jam Tinggi oleh orang Teluk Intan.

Pada masa dahulu menara ini berfungsi sebagai tangki simpanan air untuk bekalan penduduksekitar disamping berfungsi sebagai jam.

Pada waktu malam, lampu pada menara ini akan bertukar warna setiap minit. Sekejap warna biru, kemudian merah,kuning dan hijau. Cukup indah dan menarik.
Pada masa ini menara ini tidak lagi berfungsi sebagai tangki simpanan air tetapi jam tersebut masih lagi berfungsi  dan akan berbunyi setiap 15 minit.

Dari luar nampak menara jam ini seperti mempunyai 8 tingkat, tetapi  sebenarnya hanya terdapat 3 tingkat sahaja. 



*sebab apa menara ini condong? Mengikut cerita, menara ini dibina diatas struktur tanah yang lembut dan terdapat bebanan tangki yang menampung air yang telah menyebabkan condong sedikit ke arah barat laut.

LOKASI DAN SEJARAH MENARA CONDONG

Menara Condong terletak di antara Jalan Pasar dan Jalan Ah  Cheong.