Setelah diteliti, didapati pengaruh senibina Cina yang paling kuat pada Menara Jam Condong. Ini adalah kerana ia berkonsep sebuah “Pagoda”. Walaupun pembinaannya pada zaman pemerintahan British, namun pengaruh Cina, penderma dan kontraktor telah berjaya dalam memperjuangkan budaya untuk dihayati. Ini jelas didapati pada fasad bangunan menara jam ini seperti gerbang, bumbung genting dan hiasan jubin dan sebagainya yang menunjukkan kekayaan budaya dan senibina Cina.
Dari luar kelihatan seolah-olah menara jam ini adalah bangunan 8 (Lapan) tingkat; sebenarnya hanya terdapat 3 (Tiga) tingkat sahaja. Menara jam ini memiliki 110 anak tangga yang menghubungkan setiap aras yang tingginya 15.5 kaki. Kekayaan senibina yang diperbuat daripada struktur kayu dan batu; terdapat setiap tingkap dilengkapi dengan lorong jalan 6 (Enam) kaki lebar berdindingkan tembok rendah 2 (Dua) kaki yang dihiasi dengan batu berwarna hijau. Ketelitian senibinanya dan perancangan ruang dapat dilihat dari adaptasi kegunaannya sebagai tangki air ditingkat 3 (Tiga) yang diperbuat dari kepingan keluli setinggi 16 kaki dengan muatan 680 kaki padu. Lapisan bawah bangunan ini berukuran garis pusat 43 kaki dan menguncup ke atas 27 kaki.
Walaupun kontraktor Leong Choon Cheong berusaha membina menara jam ini dahulu, namun tidak dapat dinafikan bahawa pihak British adalah pemilik dan pentadbir ketika itu. Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, menara jam ini secara automatis menjadi milik negara dan kini ia dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Semasa pemerintahan Jepun, bangunan ini telah digunakan pula oleh askar-askar Jepun sebagai menara kawalan bagi memerhatikan musuh.
No comments:
Post a Comment